Pages

♥ikLaN

Followers

Thursday, 8 November 2012

Jari manis kanak-kanak putus


Keadaan tangan Wan Annaz sejurus selepas kejadian dihempap replika cendawan.
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 November 2012

Lokasi kejadian malang yang menimpa Wan Annaz.
Serpihan jari yang tidak dapat dicantumkan.
Wan Azhar melihat keadaan tangan anaknya yang berbalut.

BACHOK - Seorang kanak-kanak kudung jari manis kirinya, selepas dihempap replika cendawan ketika bercuti di sebuah pantai minggu lalu. Jari Wan Annaz Wan Azhar, 5, terputus dan remuk selepas tertusuk serpihan simen replika cendawan itu. Bapanya, Wan Azhar Wan Ahamad, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang pada 29 Oktober lalu, ketika dia sekeluarga sedang berkelah di bawah replika cendawan.

“Ketika itu kami sedang berkelah dan anak berdiri di belakang saya. Tiba-tiba replika cendawan yang berdekatan anak, runtuh menimpanya. Saya panik dan mengalihkan semua runtuhan yang menutupi seluruh badannya. Kemudian saya segera membawanya ke Klinik Kesihatan Bachok. Apabila pemeriksaan dilakukan, baru kami mengetahui jarinya putus dan saya bergegas ke tempat runtuhan untuk mencari serpihan jari tersebut, dengan harapan dapat dicantumkan semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, anaknya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut. Malangnya, jari itu tidak dapat dicantumkan kerana keadaannya yang teruk. Wan Annaz dirawat selama empat hari sebelum dibenarkan pulang.

“Kami tidak sangka tragedi ini berlaku ketika kami pulang bercuti sempena Aidiladha.
Pihak berkenaan seharusnya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Saya perhatikan besi replika itu terlalu kecil sebagai asas. Beberapa replika lain juga didapati sudah retak dan usang,” katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu membuat pemantauan untuk memastikan segala kemudahan dan replika di kawasan rekreasi itu selamat untuk pengunjung. Akibat kejadian itu dia yang bekerja di Sungai Buloh terpaksa menyambung cuti bagi menyelesaikan rawatan anaknya. Dia juga merancang untuk bertemu pihak berkaitan, berbincang mengenai tragedi yang menimpa anaknya dalam masa terdekat.
 

Wednesday, 7 November 2012

Bayi ditemui depan rumah


>JPAM memberi rawatan awal kepada bayi yang ditemui di hadapan sebuah rumah di Jalan Teratai, Raja Uda, Butterworth, pagi kelmarin.
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 November 2012

Butterworth - Seorang bayi lelaki yang sihat dan cukup sifat ditemui ditinggalkan di hadapan rumah pasangan suami isteri berketurunan Cina, di Jalan Teratai, Raja Uda di sini, awal pagi kelmarin. Bayi lelaki itu ditemui pembantu rumah pasangan keluarga berkenaan sewaktu dia keluar untuk menyapu sampah di halaman rumah pada jam 5.30 pagi. Terkejut dengan penemuan itu, dia kemudian memaklumkan majikannya yang kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Butterworth dan polis.

Dipercayai, bayi berkulit cerah itu baru dilahirkan antara tiga dan empat jam sebelum ditemui berdasarkan kesan tali pusatnya yang masih baru dan berdarah. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.30 pagi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika ditemui bayi itu dibalut dengan kain pelikat serta tidak menangis dan dalam keadaan sihat. “Bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan usaha mencari individu yang membuang bayi itu giat dijalankan,” katanya.


Nenek perkasa


Oleh Asmizan Mohd Samiran dan Rohaiza Abdul Rahman ; am@hmetro.com.my
         
CERGAS...Nik Haripah mengemudi sendiri bot yang dipenuhi tong gas.

KUAT...Nik Haripah mengangkat tong gas yang diambil daripada pembekal.

TUMPAT: Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun layak digelar ‘nenek perkasa’ apabila masih mampu mengangkat 10 tong gas sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan berulang-alik mengemudi sendiri bot enjin sangkut miliknya dari kediamannya yang dijadikan kedai runcit di Pulau Teluk Ranjuna ke Pengkalan Kok Majid, di sini.

Dengan berbaju kurung dan berkain batik, malah bertubuh kecil, Nik Haripah Othman mengemudi bot untuk 10 minit perjalanan demi mencari rezeki halal bagi mendapatkan pendapatan tambahan selain wang dikirim tujuh anaknya. Nik Haripah yang mempunyai 10 cucu berkata, dia melakukan pekerjaan itu sejak enam tahun lalu tanpa kekok dan mengakui sihat tanpa sebarang penyakit sehingga kini.

“Tiada apa rahsia diamalkan sehingga saya mampu melakukan pekerjaan itu walaupun berusia 63 tahun. Mungkin sepanjang hidup saya sering makan nasi bersama ulam-ulaman. Walaupun ada yang bimbang melihat saya mengemudi bot dengan muatan tong gas, saya sentiasa membaca doa menaiki kenderaan dan dimurahkan rezeki sebelum mengemudi bot. Saya berserah kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, selain gas yang dijual mendapat permintaan daripada penduduk pulau berdekatan, dia membekalkan gas ke Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di sini dengan keuntungan RM2.50 bagi setiap tong.

“Memang anak saya menyuruh berhenti melakukan kerja ini kerana bimbang keselamatan saya, tetapi saya minat berniaga dan masih ada tenaga bekerja. Lagi pun suami menghidap asma dan tidak boleh melakukan kerja berat. Sekurang-kurangnya, pendapatan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan harian,” katanya yang menjaga ibunya, Nik Mariam Nik Hasan, 90, yang uzur.

Nik Haripah berkata, dia pernah berdepan detik cemas apabila tong gas diangkat jatuh ke dalam sungai. “Dengan doa dan pengalaman dimiliki membuatkan saya terus melakukan pekerjaan ini sehinggalah saya tidak mampu melakukannya. Apapun saya berharap ada pihak sudi membantu saya membesarkan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07  

Lanyak sampai koma


PARAH...mangsa koma dibelasah.
Oleh Alias Abd Ranim; lias@hmetro.com.my

KUCHING: Dua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, direman tiga hari bermula semalam kerana disyaki membelasah seorang tahanan sehingga koma dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan otak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan kesalahan dan memberi jaminan kes itu akan disiasat secara terperinci.

“Polis tidak akan menyembunyikan sebarang kesalahan dilakukan anggota dan pegawai, bahkan mereka akan didakwa seperti orang awam,” katanya sambil menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, tahanan terbabit mengalami pendarahan dalam otak dipercayai ditumbuk pegawai polis berkenaan yang berang ketika proses soal siasat, Ahad lalu. Majistret Zulhairil Sulaiman membenarkan kedua-dua pegawai berpangkat inspektor itu direman tiga hari bermula semalam untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07

Tuesday, 6 November 2012

Bangkai tikus dalam bijirin sarapan


>TIKUS yang ditemui Hunter dalam bijirin Rice Krispies.

LONDON: Seorang lelaki yang kelaparan terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila bijirin Rice Krispies yang ingin disuapnya untuk kali kedua mengandungi tikus mati.
Mark Hunter, 42, bapa kepada dua anak dari Maida Vale, London, terkejut apabila menyudu kepala tikus daripada bijirin Rice Krispies yang dimakan bersama susu. Dia kemudian mengeluarkan bangkai haiwan itu, mengeringkannya sebelum menghubungi pengilang makanan itu, Kellog’s.

“Saya sangat bimbang kerana saya sudah pun makan sesudu bijirin itu dan ingin menyuap makanan itu lagi. Namun, saya terlihat benda hitam dalam susu, tetapi tidak menyedarinya hingga saya mencedoknya dengan susu,” katanya.

Kellog’s mengakui mereka bimbang dengan apa yang berlaku dan akan pergi ke kediaman Hunter untuk mengambil tikus itu dan menyelidik dari mana ia datang. Pakar daripada Universiti Liverpool percaya mereka dapat mencari puncanya. Ia bukan kali pertama tikus atau benda lain yang menjijikkan ditemui dalam makanan. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Monday, 5 November 2012

Pemandu teksi mati dikelar


Polis forensik sedang mengumpulkan bukti untuk menjalankan siasatan. - Foto Ihsan Sin Chew Daily
NORAIZURA AHMAD
5 November 2012

KUALA LUMPUR -  Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam keadaan lehernya dikelar di tempat duduk pemandu kenderaannya di Jalan Tun H.S Lee, awal pagi kelmarin. Kejadian disedari orang awam kira-kira jam 12.44 pagi selepas mendapati kenderaan tersebut dalam keadaan berasap.

Mayat lelaki berusia 26 tahun ditemui dengan keadaan mulutnya disumbat dengan kain dan kesan terbakar di tangan kiri mangsa dipercayai berpunca daripada baju mangsa dibakar penjenayah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar di leher, tikaman di  dada dan belakang mangsa.

“Pemeriksaan awal tidak menemui senjata digunakan penjenayah dan semua pengenalan diri, dompet dan telefon bimbit tiada bersama mangsa. Siasatan mendapati teksi didaftarkan di sebuah syarikat di Ampang,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan tempat kejadian untuk mengesan suspek. Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurutnya, motif kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Bunuh guna bantal


Oleh Mohd Shukor Amin ; am@hmetro.com.my
         
USUNG...anggota polis mengangkat jenazah Sadariah yang maut ditekup penyamun.

SUNGAI BESAR: Seorang remaja mengalami detik amat menyedihkan apabila melihat sendiri neneknya ditekup dengan bantal hingga mati oleh dua perompak yang menceroboh rumah mereka di Kedai Luar Bandar, Jalan Parit 6 Timur, di sini, awal pagi semalam.

Mohammad Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang turut ditumbuk dan diacukan parang oleh dua penjenayah terbabit berkata, sebelum itu neneknya, Sadariah Tubasar @ Ahmad, 65, diikat dengan tali rafia manakala mulutnya ditekup dengan tuala. “Walaupun diikat, nenek tetap melawan dan menjerit menyebabkan suspek panik lalu seorang daripada mereka mengambil bantal dan menekup muka nenek. Beberapa minit kemudian, nenek lemah dan tidak lagi bersuara,” katanya.

Mohammad Hafizul berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika dia dan neneknya nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang. Menurutnya, seorang daripada lelaki itu menghempap tubuhnya sebelum tangan dan kakinya diikat menggunakan tali rafia.

“Saya juga ditumbuk beberapa kali dan diacukan parang supaya tidak melawan. Mereka mengarahkan saya membantu mereka menggeledah bilik nenek. Selepas berjaya mendapatkan wang tunai dan barang kemas milik arwah nenek, mereka tergesa-gesa meninggalkan rumah melalui pintu belakang,” katanya sewaktu ditemui, semalam. Mohammad Hafizul berkata, kejadian menimpa arwah neneknya menyebabkan dia lebih tertekan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, polis menerima panggilan kira-kira 5.30 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di ruang tamu rumah. Noor Mushar berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan lain di badan mangsa kecuali sedikit pendarahan di mulut dipercayai akibat diikat dengan kuat menggunakan tuala dan sewaktu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek melarikan wang tunai RM500, barang kemas dan sebuah beg tangan mangsa didapati hilang. Nilai keseluruhan kira-kira RM2,000,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...