Pages

♥ikLaN

Followers

Friday 28 September 2012

Runtuhan batu halang usaha keluarkan mayat pencari emas

Anggota Bomba dan Penyelamat hari ini berusaha mengeluarkan mayat Lee Sze Chun, 37, yang terperangkap dalam terowong ketika melombong emas secara haram - Foto Bernama
27 September 2012

BAU, Sarawak - Usaha mengeluarkan mayat lelaki berusia 37 tahun yang meninggal dunia ketika mencari emas di sini semalam terhalang apabila ketulan batu besar runtuh di sepanjang laluan yang digunakan pasukan penyelamat.
  
Ketua Polis Bau DSP Mohd Sabri Zainol memberitahu Bernama polis dan anggota penyelamat yang menyertai pasukan itu terpaksa menangguhkan operasi tengah hari ini apabila bertan-tan batu jatuh ketika mereka hampir sampai ke kedudukan mayat Lee Sze Chun, yang ditindih ketulan batu di dalam terowong yang digali di Gunung Tubai, kira-kira enam kilometer dari sini.
  
"Demi keselamatan para penyelamat, saya minta operasi dihentikan pada jam 4 petang. Saya tidak nampak ada cara lain untuk meneruskannya," kata beliau sambil menjelaskan bahawa satu mesyuarat akan diadakan di sini esok untuk merangka langkah seterusnya.
  
Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui anggota keluarga mangsa yang menyaksikan operasi berkenaan sejak jam 9 pagi.
  
Beberapa peralatan menyelamat juga tertimbus apabila bahagian bumbung terowong sedalam lebih 30 meter itu runtuh, katanya.
  
Dalam laporan polis yang dibuat anggota keluarga mangsa semalam, Sze Chun dikatakan pergi ke kawasan melombong di gunung itu bersama beberapa rakan pada kira-kira 2 petang.
  
Beberapa jam kemudian, rakan Sze Chun mengunjungi rumah keluarganya untuk  memaklumkan kejadian itu.
  
Mohd Sabri berkata, kejadian terbaru ini adalah yang keempat seumpamanya berlaku di pekan yang kaya dengan emas ini dalam tempoh dua tahun lepas.
  
"Inilah yang paling sukar (operasi menyelamat) setakat ini dan saya merayu kepada penduduk di sini supaya tidak memperjudikan nyawa dengan melombong emas  dengan cara sendiri," katanya. - Bernama

Serik ikut lelaki Lombok

>Zarina dan anaknya
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012

KUALA NERANG - Kisah wanita yang terpengaruh lalu mengikut teman lelaki ke negara seberang sama ada secara sedar atau tidak sering kali menjadi paparan media massa kebelakangan ini. Sinar Harian berkesempatan bertemu dengan Zarina Abu Bakar, 29, yang pernah terpengaruh dengan teman lelakinya sehingga mengikut jejaka dikenali dengan nama Suhelmi, 27, pulang ke Indonesia kira-kira tiga tahun lalu, berkongsi pengalaman berkaitan dilaluinya. Zarina yang kini bekerja di kantin sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) sememangnya menyesal dengan kejadian berlaku dan mahu memadam peristiwa itu dalam kotak fikirannya.

“Biarlah apa yang berlaku itu berlalu begitu sahaja kerana saya kini mahu membina kehidupan baru dengan suami dan tiga anak di sini. Saya juga tidak pernah berhubung dengan Hell (Suhelmi) setelah pulang ke Malaysia termasuklah bertanyakan khabar mengenai anak perempuan (Nur Alisa) kami yang kini berusia satu tahun sembilan bulan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Kuala Pai.

Mengimbas kembali apa yang berlaku, Zarina berkata, dia mengenali Suhelmi ketika bekerja di sebuah kedai makan di Negeri Sembilan. Tempoh perkenalan mereka selama tujuh bulan membuatkan Zarina tertarik dengan lelaki tersebut yang sering menggunakan kata-kata manis sewaktu bercakap dan gemar menghadiahkan pelbagai barang. Zarina yang dibawa ke Lombok Timur, Indonesia secara haram dibawa menaiki bot bersama penumpang lain.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana perjalanan sewaktu menaiki bot kerana pada waktu itu saya tidak ingat apa berlaku dan hanya tersedar peristiwa tersebut setelah hampir setahun setengah berada di sana. Namun, apa yang saya ingat, kehidupan saya di sana amat susah, saya terpaksa bekerja menanam padi untuk mencari wang,” katanya.

Zarina berkata, Suhelmi yang sebelum pulang ke Indonesia bekerja di ladang kelapa sawit, selepas itu menjalankan kerja di sawah dengan pendapatan RM2.50 sehari iaitu Rp 10,000 mata wang Indonesia. Lebih memeritkan apabila dia mengenangkan perjalanan pulang ke Malaysia yang terpaksa ditempuh seorang diri sehingga lemas di lautan. Dia berkata, segala proses  pulang ke Malaysia dilakukan sendiri dengan wang dikirimkan ibunya, Mariam Kassim, 50, tanpa dibantu lelaki yang enggan mengahwininya itu.

Dia sekali lagi terpaksa pulang ke tanah air secara haram terpaksa membayar RM2,500 untuk menaiki kapal terbang ke Batam dan kemudian menaiki bot ke Johor Bahru sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur.

“Sekali lagi saya terpaksa menempuh perjalanan yang amat sukar, apabila tiba di tengah laut, saya dan 26 penumpang lain terpaksa terjun ke laut kira-kira jam 4 pagi dan berenang ke tepi untuk masuk ke dalam hutan. Setelah terjun, saya terus pengsan dan hanya tersedar setelah dikejutkan penumpang lain yang membawa saya ke tepi dan kami kemudian berjalan di dalam hutan dan menaiki van kira-kira jam 7 pagi,” katanya.

Zarina berkata, setelah tiba di hentian Puduraya, Kuala Lumpur, dia dijemput ibunya untuk dibawa pulang ke kampungnya, di sini. Menurutnya, perjalanan yang berliku dan jauh itu membuatkan dirinya insaf untuk berkawan dengan lelaki warga asing yang hanya menjanjikan kata-kata manis namun tidak dikotakan. Zarina turut berkongsi pengalamannya bersama wanita dari Malaysia lain yang berada di Lombok, Indonesia yang terpaksa melalui kehidupan sama seperti dirinya.

Menurutnya, masih ramai wanita termasuk gadis dari negara ini yang tinggal di sana setelah mengikut teman lelaki mereka. “Tidak semua wanita mengikut lelaki Lombok dijadikan isteri, ada juga yang tidak berkahwin tetapi tinggal serumah dengan lelaki tersebut. Saya juga berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu membawa pulang mereka ke Malaysia kerana mereka juga mahu pulang tetapi terpaksa membatalkan niat akibat kekangan wang,” katanya.

Dua kes terbaru

Sinar Harian Selasa lalu menyiarkan berkenaan situasi terpaksa dihadapi sebuah keluarga di Tanjung Dawai, Sungai Petani yang menunggu selama enam tahun kepulangan anaknya, Munirah Abdul Hamid yang kini dipercayai berada di Batam, Indonesia. Menurut bapa Munirah, Abdul Hamid Mat, 50, anak ketiga dari lima beradik itu dipercayai terpengaruh dengan teman lelakinya enam tahun lalu sewaktu dia masih bersekolah di tingkatan empat.

Abdul Hamid hanya mengetahui Munirah berada di Indonesia setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan gadis itu berada di Batam, pada 2007 dan mereka turut menerima surat 8 Ogos lalu yang menjelaskan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.

Keesokan harinya, Sinar Harian menyiarkan pula kisah sepasang suami isteri yang meminta bantuan untuk membawa anak mereka pulang dari Lampung, Indonesia.
Ibu kepada wanita dipercayai mengikut teman lelakinya ke Lampung, Indonesia itu lega apabila menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan akan pulang ke tanah air.

Aishah Baharom, 67, dari Taman Wira Mergong gembira apabila menerima panggilan daripada suami anaknya, Hamidah Mohd Noor, 46, yang dikenali dengan Taufik mengatakan mahu pulang ke Malaysia untuk bertemu keluarga. Hamidah dipercayai mengikut teman lelakinya 11 tahun lalu sewaktu dia bekerja di kilang di Pulau Pinang tanpa memberitahu hasratnya ke sana kepada keluarga dan hanya memaklumkan setelah mendapat cahaya mata.

Pelajar maut dirempuh guru

Keadaan motosikal mangsa setelah bertembung dengan Toyota Innova, semalam.
Wartawan Sinar Harian
28 September 2012

SABAK BERNAM - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung kenderaan dipandu seorang guru, di Jalan Lama Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal EX-5 dalam perjalanan ke sekolah, di Sungai Besar.

"Pemandu kereta Toyota Innova dari arah bertentangan menuju Simpang Lima gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.
Mangsa, Muhammad Fiqri Mohd Kassim, 17, maut serta merta di tempat kejadian dipercayai cedera parah di kepala kerana hentakan di cermin hadapan kereta," katanya.

Menurut Mushar, pemandu yang bertugas di Sekolah Menengah Simpang Lima difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa. "Pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil membuat laporan sejurus kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kita masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa yang maut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat,"
katanya.

Sementara itu, guru berkenaan, Huwaibatul Aslamiah Khodari,34, berkata, dia dalam perjalanan ke sekolah terkejut apabila motosikal berkenaan memasuki laluannya secara tiba-tiba. "Saya cuba mengelak namun tidak sempat kerana jarak motosikal berkenaan begitu hampir menyebabkan kami bertembung. Saya bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya bahagian hadapan kereta sahaja yang rosak," katanya.

Wanita warga emas kritikal lengan dibaham dalam tali air

LEESBURG: Pihak berkuasa Florida berkata, seekor buaya membaham hingga putus lengan seorang wanita warga emas, semalam. Jurucakap Suruhanjaya Pemuliharaan Perikanan dan Hidupan Liar Florida berkata, wanita terbabit dalam keadaan kritikal. Pejabat Sheriff pula menyatakan, mangsa ialah Carol Hough, 84.

Jiran Carol, Delmas Zickefoose, berkata wanita warga emas itu terjatuh ke sebatang terusan sedalam kira-kira 1.2 meter yang ada di belakang rumah bergeraknya. Tidak dapat dipastikan bagaimana Carol terjatuh. Buaya itu kemudian dibunuh pihak berkuasa bagi mengelak ia melakukan serangan lagi.

Bagaimanapun, cebisan lengan Carol tidak ditemui di perut bangkai buaya berkenaan. Penduduk setempat berkata, memang banyak buaya hidup di kawasan berkenaan.
Julai lalu, seorang remaja lelaki putus tangannya apabila diserang buaya di kawasan itu, manakala seorang kapten bot udara turut mengalami nasib sama ketika memberi makan haiwan liar berkenaan, Jun lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28 Photo By wenatcheeworld.com : Delmas Zickefoose came to the rescue of an elderly woman, who was attacked by an alligator. Carol Hough, 84, lost an arm in the attack.

2 anggota polis ditembak semasa ronda stabil

R. Subramaniam, 52, yang cedera ditembak sekumpulan penjenayah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini - Foto Bernama

Nor Azlan Abu Bakar, 41, yang cedera ditembak sekumpulan penjenayah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini - Foto Bernama

Sinar Harian 27 September 2012

PETALING JAYA - Dua anggota polis unit peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang dilaporkan parah ditembak sekumpulan penjenayah semalam berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dua anggota berpangkat Koperal itu yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersemangat untuk kembali bertugas. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kedua-dua anggota polis itu di PPUM di sini hari ini.

Khalid yang diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat mangsa yang ditempatkan di Tingkat 6 dan 7 pusat perubatan itu.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang semalam itu, dua anggota berkenaan ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.

Tembakan tersebut menyebabkan Koperal R. Subramaniam, 52, cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera di leher.
Khalid berkata, dua anggotanya turut melepaskan tembakan ke arah suspek sebagai mempertahankan diri namun tidak dapat dipastikan sama ada mengenai sasaran dengan penjenayah berjaya melarikan diri.

Sementara itu, Ku berkata tiga das tembakan telah dilepaskan anggota berkenaan ke arah suspek dan dipercayai telah terkena tangki minyak kereta Proton Saga yang dinaiki penjenayah. Tembakan itu menyebabkan berlaku kebocoran pada tangki petrol dan telah memaksa mereka meninggalkan kereta yang dinaiki kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki, katanya.

Beliau berkata, polis belum dapat mengenal pasti identiti empat penjenayah terbabit, manakala siasatan mendapati kereta yang digunakan bukan kereta yang dicuri sebaliknya telah dijual oleh pemilik asal kepada orang lain. "Setakat ini lima saksi yang berada di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuchai Lama menuju ke Lebuhraya Maju telah diambil keterangan dan usaha mengesan dan memburu suspek giat dijalankan," katanya.

Bagi Subramaniam, kejadian itu merupakan pengalaman pahit pertama yang dilaluinya sejak menyertai pasukan polis 31 tahun lepas. "Semasa saya dan Azlan menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba saya lihat seorang daripada empat suspek di dalam kereta mengeluarkan pistol dan menembak ke arah kami. Kejadian berlaku sangat cepat. Kami sempat membalas tembakan sebelum rebah di tempat kejadian," katanya yang mempunyai seorang isteri dan dua anak berumur 23 dan 28 tahun. – Bernama

Pura-pura sakit untuk tipu rakan, saudara

MOUNT HOLLY (New Jersey): Seorang wanita memperdaya sanak saudaranya untuk mendapatkan wang tunai, makanan serta majlis kahwin dengan mendakwa dia menghidap barah pundi kencing.

Lori Stilley, 40, dituduh mencuri dengan menipu. Nenurut pegawai, pada Februari 2011, Lori yang berasal dari New Jersey, memberitahu mereka yang rapat dengannya dan memuatnaikkannya dalam Facebook bahawa dia menghidap barah dan keadaannya semakin teruk.

Pihak berkuasa berkata, rakan dan sanak saudaranya mengumpulkan lebih AS$10,000 0RM30,000), wang yang diperlukannya untuk menjalani rawatan kerana dia tidak mempunyai insurans perubatan. Mereka juga menganjur dan membiayai majlis perkahwinan beliau dan makanan yang dipesannya.

Rakan dan sanak saudaranya bagaimanapun mengesyaki dia menipu pada November 2011 selepas dia berkata dalam laman Facebook yang dia semakin sihat. Pendakwa raya menyifatkan penipuan itu sebagai ‘amat kejam.’ Lori dibebaskan dengan ikat jamin AS$25,000 (RM75,000). - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28 (Photo by metro.us)

Cinta hingga ke mati

 TIMMS dan isteri, Valerie.
PASANGAN itu ketika muda.

GLOUCHERSTER: Seorang lelaki pekak dan buta bertindak menggantung diri selepas kematian isterinya akibat sakit jantung. Seorang koroner diberitahu, Stewart Timms, 63, dan isteri, Valerie, 68, yang bisu dan pekak, adalah pasangan dedikasi yang sentiasa hidup saling bantu-membantu.

Tetapi selepas Valerie meninggal dunia di rumah mereka di Andoversford, Gloucestershire, suaminya menggantung diri, beberapa meter dari mayatnya, kata Timbalan Koroner Gloucestershire, David Dooley.

Dooley merumuskan, Timms, pembuat kabinet, membunuh diri dan isterinya, mati akibat penyakit biasa. Pasangan itu mempunyai dua anak dan lapan cucu. Mayat mereka, kedua-duanya berpakaian tidur, ditemui 16 Jun lalu oleh anak mereka, Emma Scott yang datang untuk menziarah.

Mereka dilihat bersama dua atau tiga hari sebelum penemuan itu. Dalam kenyataannya, Emma berkata, ibu bapanya berkahwin selama 38 tahun. “Mereka amat menyanyangi satu sama lain. Mereka jarang bertengkar. Menjelang kematian mereka, ibu bapa saya tidak pernah bertengkar. Mereka sentiasa bantu satu sama lain,” katanya.

Menurut Emma, bapanya pernah cuba menggantung diri 24 tahun lalu selepas diberitahu dia akan buta. Bagaimanapun, Timms tidak bercakap apa-apa baru-baru ini atau sebelum kematiannya.

Katanya, apabila tiba di rumah ibu bapanya, tidak ada orang yang menjawab ketukannya pada pintu rumah, menyebabkan dia cuba masuk menerusi pintu belakang, tetapi ia berkunci. Dia melihat anjing bapanya, Arnie dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas ternampak kesan najis di lantai. Dia meminta bantuan jiran pasangan itu, Adrian Stoner yang memanjat rumah berkenaan.

Stoner kembali dan memberitahu bapanya menggantung diri. “Saya seterusnya diberitahu, ibu saya juga sudah ditemui dan disahkan mati,” kata Emma. Dia yakin kematian ibu bapanya tidak berkait dan mereka tidak membantu satu sama lain untuk membunuh diri. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28

Thursday 27 September 2012

Restoran mudah alih RFC

Shafee (tengah) menunjukkan Hot Dujaj dan Mee Bandung RFC.
NURAINN AZHAR
27 September 2012

Radix Fried Chicken (RFC) kini mengetengahkan konsep restoran mudah alih menggunakan trak bagi memenuhi permintaan pelanggan khususnya di kawasan pesat. Pengerusi RFC Malaysia, Datuk Ahmad Shafee Sabaruddin berkata, syarikat memperuntukkan hampir RM400,000 bagi menyiapkan sebuah model trak menjelang hujung tahun ini. Menurutnya,  trak itu akan ditempatkan di kawasan pusat bandar dan digunakan pada majlis keramaian sebagai salah satu mekanisme mengetengahkan produk RFC.

“Selain memperkenalkan konsep ini, RFC akan membuka cawangan baru yang dijangka siap pada penghujung Oktober nanti bagi melengkapkan 11 cawangan semuanya bagi tahun ini. Pembukaan cawangan baru tersebut melibatkan pelaburan RM1.2 juta dan pelanggan berpeluang menikmati 16 jenis menu ditawarkan sehingga kini,” katanya pada majlis pelancaran dua menu baru RFC di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Shafee berkata, RFC optimis dapat membuka 50 cawangan di seluruh negara menjelang 2017 dan meningkatkan mutu dan kualiti produk supaya dapat bersaing pasaran antarabangsa. Sementara itu, Shafee berkata, RFC kini memperkenalkan dua menu baru iaitu ayam goreng Hot Dujaj dan Mee Bandung. Keistimewaan Hot Dujaj adalah kepedasan cili Bhut Jolokia yang digunakan.

“Kedua-dua menu boleh didapati di cawangan Shah Alam hari ini (semalam), manakala cawangan lain bermula esok (hari ini). Hot Dujaj dijual antara harga RM9 hingga RM11, bergantung pada kuantiti ayam dan Mee Bandung pula RM6.90. Hot Dujaj dikategorikan sebagai menu bermusim kerana bergantung kepada stok cili Bhut Jolokia yang boleh diperoleh. RM70,000 diperuntukkan bagi penyediaan bahan asas khususnya cili bhut Jolokia,” katanya.

Sebelum ini, tujuh daripada cawangan RFC dikendalikan HPA, manakala tiga di bawah Darul Rahmat Sdn Bhd. Kini, pengurusan bagi semua cawangan terletak di bawah Darul Rahmat Sdn Bhd sebagai pengurusan baru.

Koyak gambar raja, dipenjara 2 bulan

Zainab (kanan) digari dan diberi amaran oleh seorang polis wanita selepas mengadakan protes di Bahrain, bulan lalu.
27 September 2012

DUBAI - Akibat mengoyak gambar raja negara Teluk Arab, seorang aktivis Bahrain dihukum penjara selama dua bulan, semalam. Zainab Al-Khawaja merupakan anak perempuan pemimpin aktivis Syiah, Abdulhadi Al-Khawaja, ditangkap dalam satu tunjuk perasaan pada Ogos lalu, yang mana, memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah.

Peguambela, Mohammed Al-Jishi berkata hukuman yang dikenakan mahkamah adalah terlalu keras dan tidak munasabah. Jishi memberitahu, anak guamnya itu kini masih berhadapan lapan dakwaan yang dibuat terhadapnya melibatkan protes bulan lalu dan bakal dibicarakan bermula awal Oktober ini.

Zainab dilaporkan terlibat dalam beberapa bantahan di ibu pejabat Tentera Laut Kelima Amerika Syarikat (AS) di Bahrain bersama pro-demokrasi dan pengikut Syiah, tahun lalu. Bapanya yang dihukum penjara pernah melaksanakan mogok lapar lebih tiga minggu awal tahun ini bagi membantah hukuman yang dianggap tidak adil dan berat sebelah. - Reuters

Kecewa dilucut warganegara

Poo Su (tengah) dan Bok Poon (kanan) menunjukkan bukti mangsa warganegara Malaysia, semalam.
Wartawan Sinar Harian
27 September 2012

AMPANG - “Saya tidak pernah diberitahu mengapa kewarganegaraan saya dilucutkan sedangkan sebelum ini saya memegang kad pengenalan biru,” kata Ong Poo Su, 60, yang terkilan haknya sebagai rakyat Malaysia dinafikan sejak 22 tahun lalu.

Dia yang lahir pada 1942 di Taiping, Perak dan boleh berbahasa Melayu kini memegang kad pengenalan merah setelah ditukar daripada kad pengenalan biru oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Menurutnya, dia sehingga hari ini tidak tahu apakah punca kewarganegaraannya dilucutkan sedangkan ibunya juga pemegang kad pengenalan biru dan warganegara Malaysia.

“Saya sangat terkejut apabila diberitahu saya bukan warganegara Malaysia dan sedih apabila tidak dapat menerima pelbagai kemudahan sebagai rakyat Malaysia sejak 22 tahun lalu. Selama itulah juga hak saya sebagai rakyat Malaysia terus dinafikan seperti mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia, baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian pada sidang media bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Teratai, semalam.

Hadir sama, Ketua Biro Aduan Awam Dun Teratai, Ben Liew Bok Poon. Bok Poon berkata, dia bersama peguam akan merujuk kes ini di JPN Putrajaya esok supaya perkara ini dapat diselesaikan kerana alasan kewarganegaraan mangsa dilucutkan dilakukan secara tidak munasabah.

Katanya, selepas meneliti kes ini, ada dua bukti kukuh bahawa mangsa adalah warganegara Malaysia yang sah apabila kesemua 12 sijil kelahiran anaknya tertera nama mangsa yang memegang kad pengenalan biru. “Bukti kedua mangsa adalah warganegara apabila tercatat dia seorang warganegara di dalam pasport yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Negara,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan bukti yang ada, mangsa adalah warganegara yang sah tetapi kemungkinan terdapat kecuaian daripada pihak lain menyebabkan kewarganegaraannya dilucutkan.

Menurutnya, mangsa juga pernah mengundi pilihan raya dua kali di Taiping Perak tetapi sejak kad pengenalannya ditukar kepada pemastautin tetap, haknya untuk mengundi dinafikan. Sementara itu, penasihat undang-undang Pejabat Penyelaras Dun Teratai, Mak Kah Keong berkata, mangsa merupakan warganegara sah sekiranya Perkara 14 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dirujuk.

Katanya, dalam peruntukan tersebut menyatakan jelas bahawa apabila seseorang itu lahir sebelum 16 September 1963, dia adalah warganegara Malaysia. “Dalam kes ini, mangsa lahir pada 1942 dan pada masa sama mempunyai bukti kukuh bahawa dia seorang warganegara Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Helah ibu muda buang bayi kantoi

Anggota polis menarik kotak mengandungi mayat bayi itu di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.
Wartawan Sinar Harian
27 September 2012

CAMERON HIGHLANDS - Taktik wanita warga Myanmar mendapatkan rawatan di hospital dengan menyatakan dia mengalami sakit perut membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan di belakang sebuah rumah di Brinchang. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, wanita berusia 19 tahun itu tergamak membuang bayi perempuan baru beberapa jam dilahirkan di kawasan kebun sayur sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

“Kira-kira jam 9 malam kelmarin, wanita tersebut datang ke Hospital Cameron Highlands dan mengadu sakit perut. Hasil pemeriksaan mendapati dia baru melahirkan anak. Siasatan lanjut mendapati wanita itu melahirkan anak di kawasan kebun sebelum meninggalkan bayi terbabit di belakang tandas rumah majikannya,” katanya, di sini, semalam.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat bayi itu sudah dijumpai dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Menurutnya, wanita itu baru sebulan setengah menumpang di sebuah rumah kongsi turut didiami sepasang suami isteri. “Wanita itu dibawa anak majikannya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ditahan di wad buat masa ini. Dia yang tidak mempunyai suami dan berstatus UNHCR itu tidak boleh berbahasa Melayu serta tidak memberikan kerjasama,” katanya.

Aksi nekad 2 minit

CARI BUKTI...anggota forensik memeriksa tempat kejadian, semalam.
Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

PETALING JAYA: “Kami terdengar letupan dan jeritan dari kedai emas di sebelah sebelum keluar untuk memeriksa apa berlaku dan mendapati pengawal keselamatan premis itu terbaring sambil memegang dada yang berlumuran darah,” kata juruwang farmasi, Siti, 28, menceritakan kejadian rompakan nekad kedai emas di Jalan Othman, di sini, mengakibatkan seorang pengawal keselamatan maut ditembak, semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, kedai emas itu dirompak tiga lelaki bersenjatakan pistol dan kapak serta melarikan pelbagai barangan kemas sebelum beredar dari tempat kejadian dengan menaiki motosikal. Menurut Siti, dia bersama tiga rakan sekerja sedang melayan pelanggan ketika kejadian berlaku dan mereka sempat bersembunyi seketika dalam pejabat selepas seorang rakan yang keluar menjengah memberitahu ternampak seorang lelaki memegang pistol.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pengawal keselamatan itu, Krishnan Periasamy, 44, meninggal dunia selepas dua jam dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kecederaan parah di dada, manakala tiga pekerja wanita kedai emas itu tidak cedera.
Menurutnya, tiga suspek terbabit memakai topi keledar berpenutup penuh tiba-tiba menyerbu kedai emas itu dan melepaskan dua tembakan ke arah pengawal keselamatan yang duduk di depan premis itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27

Tunggu ‘ejen’ ke Thailand


 BERDEKATAN...pondok terletak tidak jauh daripada pondok yang didiami suspek.
DI SINI...keadaan dalam pondok didiami suspek.
Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

KANGAR: Suspek utama kes bunuh dan rompakan van pengawal keselamatan membabitkan wang RM1.2 juta di Taiping yang ditahan polis di negeri ini kelmarin dicekup ketika dia menunggu kedatangan ‘ejen’ untuk membawanya ke Thailand.

Seorang penduduk kampung mahu dikenali sebagai Pak Ya, 53, yang membantu polis ketika operasi menahan lelaki berusia 25 tahun itu, berkata ketika diberkas suspek tidur dalam sebuah pondok di atas bukit di Bukit Wang Angin, Banjaran Nakawan, dekat Batu Pahat, di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, pondok usang itu milik warga negara jiran dan lokasi suspek ditahan adalah kawasan sempadan Malaysia-Thailand terletak kira-kira 10 kilometer dari Kampung Syed Omar, di sini.

“Saya dan beberapa rakannya bersama anggota polis mula mendaki bukit itu kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di kawasan pondok itu kira-kira dua jam kemudian. Ada dua pondok di situ terletak 100 meter di antara satu sama lain dan selepas pemeriksaan kami mendapati suspek tidur dalam satu daripadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27

Wanita tertelan tikus dalam sandwic

LONDON: Apabila seorang ibu dua anak menggigit sandwic ayam yang dicampur dengan bakon dan salad yang dibeli dari sebuah pasar raya Tesco, dia menelan sesuatu yang tidak dijangkanya.

Katie Crabtree terkejut mendapati binatang berbulu, seekor tikus, di dalam snek prabungkus yang dibelinya dari rangkaian pasaraya itu di Stockport. Wanita berusia 31 tahun itu hanya ternampak ‘objek berbulu itu’ selepas memakan separuh daripadanya dengan menyangka ia bakon salai yang hangus.

“Saya menggigitnya dan melihat benda hitam di dalamnya. Saya menyangka ia bakon salai dan menelannya. Kemudian saya melihat sesuatu yang buruk dalam sandwic itu. Ia berwarna hitam dan berbulu. Saya juga melihat kakinya. Ia sungguh dahsyat,” katanya.

Katie berkata, penemuan mengejutkannya itu membuatnya tidak selesa. “Saya tidak boleh lagi makan sandwic bungkus kerana ia akan mengingatkan saya kepada peristiwa itu,” katanya. Dia menuduh pasar raya berkenaan tidak menghiraukannya selepas mengadu hal itu kepada pasar raya terbabit dan ibu pejabatnya.

“Saya menghubungi pasar raya berkenaan dan ibu pejabatnya tetapi tidak ada orang yang tahu mengenai kejadian itu. Mereka akhirnya memberi saya baucar 10 (RM50). Saya berpendapat mereka tidak mempedulikan saya. Mereka sepatutnya menyiasat kejadian dan membuat tindakan selanjutnya,” kata Katie. Tesco menghantar wanita itu surat permohonan maaf dan berkata, ia akan menyiasat, di samping menawarkan pampasan sebanyak 10. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27

Trend bengkak dahi


ASAMI memasukkan jarum untuk mengalirkan air bergaram pada dahi Marin.
.JOHN, Marin dan Scorpion menanti dua jam untuk dahi mereka diisikan air bergaram

LONDON: Satu siri baru televisyen mendedahkan trend aneh masyarakat Jepun untuk ‘membengkakkan dahi.’ Penampilan luar biasa itu yang dihasilkan menerusi suntikan air bergaram (saline) pada dahi, kemudian menekan pada tengah kawasan yang membengkak dengan ibu jari, menjadi kegilaan terbaru dalam senario pengubasuaian tubuh yang dilakukan secara sulit di negara mata hari terbit itu.

Kesan dramatik hasil rawatan selama dua jam itu berakhir antara 16 hingga 24 jam apabila air bergaram itu diserap oleh tubuh dan dahi kembali kepada saiz normal. Proses berkenaan didedahkan dalam rancangan National Geographic's Taboo yang menunjukkan tiga orang menjalani rawatan itu secara sulit di Tokyo. Ia menunjukkan jarum besar yang bersambung dengan drip air bergaram dicucuk pada dahi John, Marin dan Scorpion. Pengamal rawatan itu, Asami kedengaran berkata: “Anda perlu melakukannya secara betul bagi mengurangkan bahaya.”

Sensasinya terbukti tidak menyelesakan. Ketika jarum itu dicucuk pada dahinya, John berkata: “Ooh, jariu itu memasuki dahi saya.. Ooh!” Apabila masuk sepenuhnya, kesan jaram itu dapat dilihat dengan jelas di bawah permukaan kulit dan air garam itu mula memasuki dahi secara perlahan-lahan. John menyifatkan keadaan ketika itu sebagai ‘terasa mencucuk sedikit.’

Dia kemudian berkata, perasaannya menjadi begitu gelisah, yakin cecair berkenaan melilih pada permukaan mukanya dan bertanya: “Adakah sesuatu yang melilih dari kepala saya. Saya dapat merasakannya melilih.”

Kira-kira sejam selepas itu, dahi John dan dua rakannya kelihatan begitu bengkak dan mereka kelihatan sudah serasi dengan jarum pada dahi masing-masing. “Saat ini, saya dapat merasakan relaks, seperti berdenyut-denyut dan juga seolah-olah meningkatkan tekanan secara perlahan-lahan, membuatkan saya merasakan hendak tidur,” kata John.

Selama dua jam rawatan itu, kira-kira 400 sentimer kubik air bergaram dimasukkan ke dahi mereka. Sebaik ia mencapai saiz yang diinginkan, Asami menarik keluar jarum berkenaan dan menekan ibu jarinya pada tengah bahagian yang bengkak itu. Apabila ibu jari itu dialihkan, John kelihatan terkejut, disambut dengan tepukan daripada orang yang berada di dalam bilik berkenaan. “Oh sungguh menakjubkan. Saya kelihatan begitu menarik,” katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27

Wednesday 26 September 2012

Karaoke geli-geli bersama gadis seksi


Wanita warga Vietnam yang ditahan ketika menjadi teman penghibur pelanggan yang mengunjungi pusat hiburan, lewat malam kelmarin.
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2012

SERI KEMBANGAN – Berhibur ditemani gadis genit berpakaian menjolok mata! Itu antara pakej ditawarkan pengusaha pusat karaoke di kawasan komersil Putra Walk di Taman Pinggiran Putra di sini sejak setahun lalu. Pengunjung dikatakan bukan sahaja boleh berkaraoke di bilik gelap namun turut dibekalkan wanita muda berpakaian seksi sebagai penyeri sekiranya mampu membayar kadar pakej khas ditawarkan.

Pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Roslin Mohd Isa berkata, bertindak atas maklumat awam pihaknya menyerbu premis yang pernah tiga kali diserbu sejak awal tahun lalu.
Menurutnya, lima warga Vietnam dan dua penjaga berusia antara 19 hingga dan 25 tahun serta dua pelanggan ditahan dalam Ops Noda bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) lewat malam kelmarin.

Roslin berkata, premis didapati menjalankan perniagaan secara haram dan  tidak mempunyai lesen perniagaan sah daripada MPSJ. “Pengusaha didapati menawarkan tiga pakej berlainan kepada pelanggan termasuk aktiviti karaoke, minuman keras dan perempuan berpakaian seksi sebagai teman bersosial. Bayaran dikenakan antara RM150 hingga RM350 dan pihak kami mendapat maklumat mereka menjalankan perniagaan dari jam 8 malam hingga 5 pagi,” katanya.

Roslin berkata, pihaknya menolak kemungkinan berlaku aktiviti pelacuran di premis terbabit namun mengesyaki berlaku ‘tawar-menawar’ membawa wanita warga asing untuk menikmati layanan tambahan di tempat lain. Katanya, hasil intipan sebelum ini mendapati wanita terbabit digunakan untuk berseronok dan berpelukan dengan pelanggan mereka.

“Kesemua ditahan termasuk dua penjaga akan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1963,” katanya pelanggan juga di bawa ke IPD untuk diambil keterangan. Sementara itu, semalam MPSJ diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasa, Mazrul Zahar Mohamad mengambil tindakan menyita premis terbabit.

5,119 sudah dituduh rogol gadis bawah umur


DEWAN Rakyat di sini, semalam diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara sudah membawa 5,976 kes di bawah kesalahan rogol membabitkan gadis bawah umur berusia 16 tahun atau rogol statutori sejak 2007 hingga Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bagi tempoh sama sejak 2007 hingga Ogos lalu terdapat 5,119 orang sudah dituduh atas kesalahan rogol membabitkan gadis bawah umur 16 tahun.

“Sebahagian daripada 5,119 yang dituduh itu dipertuduh atas lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976. Daripada 5,119 orang yang dipertuduh, 1,631 sudah disabitkan atas kesalahan berkenaan, manakala 327 orang sudah dilepas dan dibebaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan,” katanya.

Mohamed Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan utama Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa ramai yang terbabit kes rogol gadis bawah umur sudah dihukum penjara bagi 10 tahun lalu.

Dalam soalan tambahan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut ingin mengetahui kesediaan kerajaan mewujudkan jawatankuasa Jatuh Hukum Rogol seperti dilaksanakan di United Kingdom (UK). Menurutnya, di UK, hukuman penjara sampai mati dikenakan terhadap perogol yang merogol gadis bawah umur berusia 13 tahun. “Pada saya objektif utama untuk memperketatkan undang-undang membabitkan rogol untuk memastikan gadis bawah umur dilindungi,” katanya.

Mohamed Nazri kemudian berkata, beberapa badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyampaikan bantahan terhadap keputusan Noor Afizal Azizan (dibebaskan bon berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur).

“Saya sudah menghantar memorandum kepada pihak berkenaan dan dalam pertemuan itu pihak berkenaan sedang membincangkan dan sudah tentu ia datang dari pihak mahkamah. Dalam peringkat awal Ketua Hakim sudah memberikan pandangan, kemungkinan Jawatankuasa boleh ditubuhkan sekiranya pihak Eksekutif kerajaan bersetuju, tetapi cuma bagaimana untuk menyelaraskannya, tetapi dalam kes Noor Afizal, dia sudah dilepaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26

Pelajar dihempap wanita bunuh diri


Shaffa'ee, one of the Malaysian students who was walking with the injured student. Photo by www.daijiworld.com

     
NEW DELHI: Seorang pelajar Malaysia, Mohamed Mushain Mohd Mashur yang dilaporkan cedera dalam satu kemalangan di Mangalore kini stabil, kata Konsul Pelajaran dan Latihan di Chennai, Annie Sabrina Lasumin. Beliau berkata, doktor memberitahu pelajar itu perlu menjalani satu pembedahan. Mushain yang berasal dari Pulau Pinang cedera apabila ditimpa seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga Kompleks Krishna di Jalan MG, Mangalore, kelmarin.

Wanita itu jatuh ke atas pelajar berkenaan bersama tiga rakannya, Mohammed Shafik Shaffa’ee, Miur Zainul Arif dan Mohammed Nadzrin Shah. Rangkaian Mangalore Today News melaporkan keempat-empat mereka berjalan ke asrama dari gim di Bejai apabila wanita muda itu yang dikatakan mengalami sakit mental sejak tiga tahun lalu dikenali sebagai Vandana Prabhu, 31, jatuh ke atas mereka. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/2


Ibu maut selepas bergesel motosikal anak


Motosikal roda tiga yang ditunggang Mohd. Ikram Laksamana (tangan memegang kepala).

MELAKA 25 Sept. - Hasrat seorang wanita mahu menggunakan motosikal yang baru diterimanya daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi perniagaan runcitnya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam di sini petang semalam.

Lebih menyedihkan, wanita itu maut akibat terjatuh setelah motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lagi motosikal roda tiga yang ditunggang anaknya sendiri di hadapan.

Dalam kemalangan pada pukul 5 petang itu, mangsa, Sapiah Md. Said, 41, jatuh tertiarap di atas jalan lalu meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di kepala.

Nasib malang Jiang Manqi


JIANG terpaksa diikat pada kenderaan datuknya bagi memudahkan dia diawasi pada setiap masa.
TANPA ibu bapa, Jiang terpaksa bergantung kepada datuknya untuk segala keperluan di rumah mereka yang serba daif di Fuzhou.

BEIJING: Diikat pada motosikal elektrik berkuasa rendah, seorang remaja terpaksa mengikuti datuknya ke mana saja setiap hari ketika lelaki tua terbabit memungut bahan buangan untuk dijual. Jiang Manqi, 13, bukan saja miskin, malah menghidap penyakit sawan dan ditinggalkan ibu bapanya. Justeru, datuk Jiang terpaksa membawanya ke mana saja di bandar Fuzhou di wilayah Fujian setiap hari supaya dia dapat mengawasi remaja terbabit setiap masa.

Disebabkan mengalami penyakit, sekolah juga enggan menerima Jiang belajar. Setiap hari, Jiang menemani datuknya yang berusia 60 tahun mencari bahan terbuang di bandar itu untuk dijual di pusat kitar semula sebagai punca pendapatan. Untuk memberi sedikit keselesaan, Jiang diberikan tempat khas di belakang motosikal datuknya untuk dijadikan tempat tidur jika dia kepenatan. Lelaki tua itu berkata, dia tiada pilihan kecuali membawa Jiang bersamanya setiap hari.

“Ia memang menyedihkan tetapi tiada apa yang mampu saya lakukan. Ibu bapa Jiang tidak menghiraukannya lagi kerana masalah kemiskinan. Saya satu-satunya tempat dia bergantung,” katanya. Menurut lelaki itu, penyakit sawan Jiang masih boleh dirawat jika mendapat ubat dari hospital mengikut jadual. Namun, katanya, kemiskinan menyebabkan dia tidak mampu memberikan ubat berkenaan kepada Jiang. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26

Parah disembelih penyamun


NURUL FATIHAH SULAINI
26 September 2012

Jamaliah Ali

YAN - Tindakan kejam penyamun tergamak menyembelih leher seorang ibu tunggal menyebabkannya nyaris maut ketika tinggal bersendirian di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun, awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, mereka menerima laporan kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi setelah mangsa dikatakan meminta pertolongan daripada jiran untuk membawanya ke hospital.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa Jamaliah Ali, 55, tinggal seorang diri di rumah berkenaan setelah adiknya yang tinggal bersama keluar menghantar anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

“Jiran mangsa hanya menyedari kejadian berlaku setelah mangsa yang cedera parah itu datang ke rumahnya untuk meminta pertolongan supaya segera dihantar ke hospital. Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, leher dikelar seperti disembelih hampir lapan sentimeter menggunakan senjata tajam dipercayai parang dikejarkan ke Hospital Yan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini, semalam.

Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan rumah mangsa digeledah dan mangsa berkemungkinan disembelih di ruang tamu bersebelahan bilik mangsa berdasarkan kesan darah di lantai. “Bagaimanapun tidak ada barangan mangsa yang hilang serta senjata digunakan turut tidak ditemui. Mengikut maklumat yang diperoleh jiran, mangsa berkemungkinan mengenali suspek kerana sewaktu meminta tolong mangsa seperti menyebut nama seseorang namun tidak jelas kerana kecederaannya serius,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh. “Kita juga ingin meminta kerjasama daripada jiran mangsa atau orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil memberi maklumat kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya. Dalam pada itu, Ismail berkata, mangsa yang masih belum sedarkan diri dilaporkan stabil serta masih menerima rawatan lanjut di hospital.

Tuesday 25 September 2012

Air bertukar kehitaman


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 September 2012

Ikan yang mati terdampar di tebing sungai akibat pencemaran.
 
Sisa yang didakwa dari sebuah kilang disalirkan terus ke Sungai Lipis dekat Kampung Tersang.

RAUB - Penduduk beberapa kampung, di sini, berang apabila sungai di kawasan mereka terus dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan flora dan fauna musnah. Seorang penduduk, Amirawa Merah, 40-an, berkata, aktiviti kilang memproses kelapa sawit di Kampung Tersang sejak beberapa tahun lalu yang dijalankan tanpa mengikut piawaian, mendatangkan kemarahan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, kilang terbabit didakwa sering membuang sisa cecair terus ke Sungai Lipis. “Sebelum ini mereka mengalirkan sisa cecair ke anak sungai berdekatan iaitu Sungai Menerut sehingga mengakibatkan hidupan dalam sungai itu musnah termasuk tanaman di tebing sungai yang diusahakan penduduk. Beberapa penduduk juga sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar pada 2008 dan pernah juga disiarkan dalam Sinar Harian,” katanya.

Amirawa berkata, selepas beberapa aduan dibuat, pengurusan kilang itu tidak lagi mengalirkan sisa cecair ke anak sungai berkenaan. Bagaimanapun Amirawa berkata, pihak pengurusan kilang itu membina dua saliran baru terus ke Sungai Lipis mengakibatkan kualiti sungai itu pula terjejas. “Sejak mereka membuat saliran baru, kualiti air sungai terjejas teruk mengakibatkan penduduk di beberapa kampung tidak dapat meneruskan aktiviti di sungai. Jika dulu penduduk kerap mencari siput di tebing sungai, tetapi kini susah mendapatkan siput di kawasan itu lagi,” katanya.

Menurutnya, air sungai juga tidak sejernih dahulu, malah warnanya bertukar seakan kehitaman. “Kami difahamkan pihak kilang cuma menyediakan satu kolam tadahan dan ia tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran sisa cecair. Proses penapisan yang tidak wajar akhirnya menjejaskan alam sekitar. Lebih membimbangkan, kami peroleh maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa kilang terbabit melepaskan sisa cecair setiap satu jam sekali,” katanya.

Amirawa berkata, dia sebagai seorang yang meminati aktiviti memancing sangat terkilan dengan pencemaran yang berlaku di sungai itu. Menurutnya, penduduk setempat terutama golongan muda juga meluahkan rasa kesal mereka kerana tidak lagi bebas memancing seperti sebelum ini. “Semalam (kelmarin) saya datang ke sini jam 12.20 tengah hari dan mendapati keadaan tidak menyenangkan apabila beberapa ikan mati terdampar di tepi tebing.

Sedangkan hidupan dalam sungai itu pun terjejas dan berisiko pupus, bagaimana pula keadaan pada masa akan datang terutama melibatkan penduduk setempat apabila pencemaran itu berterusan tanpa sebarang tindakan,” katanya. Dia berkata, pihak pengurusan kilang seharusnya memikirkan kebersihan alam sekitar dan bukannya mengutamakan keuntungan semata-mata. "Mereka juga sepatutnya prihatin dengan penduduk yang menggunakan sungai berkenaan. Mereka tidak seharusnya mengabaikan perkara ini dan menganggap penduduk kampung seolah-olah tidak ada nilai langsung untuk diberi perhatian serius,” katanya.

Padah ceroboh rumah jiran


Wan Abd Kadir mengaku menceroboh masuk kediaman jirannya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 September 2012

KUALA TERENGGANU – Tindakan berani seorang buruh binaan yang menceroboh masuk rumah jiran sendiri membawa padah apabila dikenakan denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. Tertuduh, Wan Abd Kadir Wan Harun, 39, dari Kampung Losong Haji Mat Shafie, di sini, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas mengaku salah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke dalam kawasan rumah jirannya, Anuar Rafie, 60, di

Jalan Losong Haji Mat Shafie, di sini, kira-kira jam 2.20 petang, 20 September lalu. Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala Wan Abd Kadir tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga seorang warga emas itu hanya menyedari kehadiran Wan Abd Kadir di dalam kawasan rumahnya selepas dimaklumkan jirannya, sebelum membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum itu, Wan Abd Kadir yang mengetahui kehadirannya disedari oleh jiran mangsa cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan polis. Bagaimanapun, susulan laporan dibuat, dia ditahan di rumahnya oleh sepasukan polis dari Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan lanjut.

Mayat disangka tempayan


Anggota polis membawa mayat mangsa ke HT untuk proses bedah siasat, malam kelmarin.
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 September 2012

REMBAU – “Walaupun hari hampir gelap, saya nekad meninjau dari tingkap di bahagian dapur rumah jiran saya dengan bantuan lampu picit dan selepas itu, saya terkejut apabila ternampak sekujur kaki di atas lantai rumah." Demikian cerita Kamariah Abu Bakar, 47, ketika melihat mayat jirannya di Kampung Solok Jelawai, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Kamariah yang mulai berasa tidak sedap hati apabila terpandang tingkap rumah jirannya, Maimon Ismail, 70, terbuka bertindak memanggil anaknya, Nur Farahani Roslan, 12, untuk menemaninya ke rumah jiran yang hanya berjarak kira-kira empat meter.

Menurutnya, dia yang tidak yakin dengan apa dilihatnya itu memanggil seorang lagi jiran untuk melihat keadaan dalam rumah jirannya itu sama ada sekujur kaki yang dilihatnya benar-benar kaki manusia susulan pada awalnya dia menyangka sebuah tempayan.

“Baru tiga atau empat hari lepas akak datang ke rumah Wan Mun dan berbual-bual dengannya. Akak fikir Wan Mun pergi ke rumah anak-anaknya kerana tidak melihat kelibat Wan Mun, namun akhirnya akak menyedari tingkap di bahagian dapur rumahnya terbuka menandakan dia berada di dalam rumah. Oleh itu, akak nekad juga pergi meninjau ke rumah Wan Mun dan tidak menyangka perbualan mengenai kedua-dua belah kaki Wan Mun yang membengkak empat hari lepas adalah perbualan terakhir kami,” katanya kepada Sinar Harian  ketika ditemui  di lokasi kejadian, dekat sini, malam kelmarin.

Susulan kes berkenaan, sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah Rembau dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu kerja penyiasatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Pemandu lori didakwa menyamar polis



Tertuduh (tengah) menundukkan kepala di mahkamah semalam.
NORSHIKIN MOHD SALLEH
25 September 2012


JOHOR BAHRU- Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga pertuduhan iaitu menyamar sebagai polis, melakukan samun dan merogol, awal September lalu. Tertuduh,  A Sivakumar, 32, berasal dari Chemor, Perak didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itudi dua lokasi berbeza iaitu di Taman Senai Utama, Kulaijaya dan  sebuah hotel di Kulaijaya, kira-kira jam 2 pagi hingga 3.10 pagi, 10 September lepas.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa telah menyamar sebagai polis dengan mengarahkan dua mangsa iaitu seorang gadis berusia 16 tahun dan seorang pemuda, menyerahkan kad pengenalan serta mengarahkan mereka supaya hadir ke balai polis bagi tujuan mengambil ujian air kencing. Atas tuduhan itu, Sivakumar didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan waktu yang sama didakwa melakukan rompakan dengan melarikan kad pengenalan, wang tunai RM100 dan telefon bimbit jenis Nokia kepunyaan kedua-dua mangsa. Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 14 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Sivakumar dituduh merogol mangsa perempuan berusia 16 tahun itu di sebuah hotel di Kulaijaya kira-kira jam 3.10 pagi yang didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman 20 tahun penjara dan sebatan.

Tertuduh yang diwakili peguam N Gunalan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani. Hassan menetapkan wang jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin dan 12 Oktober ini untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mahadi Abdul Jumaat.

Anak patung seks disangka mayat wanita lemas


ISTANBUL: Penyelamat Turki menarik keluar satu anak patung seks dari Laut Hitam selepas orang awam yang panik menghubungi mereka menyangka ada wanita lemas terapung di pantai, lapor media semalam. Akhbar Milliyet melaporkan, polis mengepung kawasan pantai di utara wilayah Samsun dan menghantar penyelam ke situ untuk ‘menyelamatkan seorang wanita.’ Bagaimanapun, mereka kemudian mendapati ‘wanita’ itu cuma anak patung yang dibuang angin sebelum dicampak sebagai sampah. Tidak dapat di pastikan dari mana asal anak patung itu. Selain tumpuan pelancong, Laut Hitam juga menjadi laluan sibuk syarikat perkapalan dunia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25

Lelaki berseluar dalam dibelasah


Lelaki terbabit cedera di bahagian kepala dan dibawa polis ke PPUM untuk rawatan lanjut.
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 September 2012

PETALING JAYA – Gara-gara membuat kacau, seorang lelaki dibelasah selepas enggan beredar dari kawasan perumahan di Damansara Jaya, malam kelmarin. Lelaki yang hanya memakai seluar dalam itu pada mulanya mahu meminta makanan dari salah sebuah rumah namun dia tidak mahu beredar dan menyebabkan suasana menjadi kecoh.

Kejadian jam 10 malam yang berlaku di Jalan ss 22/39 itu bermula apabila lelaki berusia dalam lingkungan 30an terbabit  berdegil dan terus meminta makanan dari satu rumah ke satu rumah yang lain meskipun ditegah dari berbuat demikian. Sumber polis berkata, penduduk yang berang kemudiannya bertindak membelasahnya sebelum polis tiba.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan apabila ditanya, jawapannya berubah-ubah serta memberitahu berasal dari Indonesia,” katanya. Lelaki itu yang cedera di bahagian kepala dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)  untuk rawatan lanjut.

PM: Tiada tol dikenakan di Lebuhraya Eastern Dispersal Link


KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada tol akan dikenakan di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor Baharu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cadangan pengambilalihan EDL di Johor Baharu oleh kerajaan daripada pemegang konsesi sedia ada masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

"Walau bagaimanapun, kepentingan semua pihak iaitu rakyat, pihak pemberi pinjam, syarikat konsesi dan kerajaan akan sentiasa dijaga dalam memuktamadkan sebarang cadangan," kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) di Dewan Rakyat hari ini.

Loke bertanyakan kos untuk kerajaan mengambil alih EDL di Johor Baharu daripada pemegang konsesi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan kadar tol yang akan dikenakan.- Bernama

SH 24 September 2012

Pam minyak dirempuh hempap motor


TUMBANG...anggota bomba menjalankan kerja mengalihkan kereta yang merempuh pam minyak terbabit, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pam minyak hingga menyebabkan pam berkenaan tumbang serta menghempap sebuah motosikal dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Alam Damai, Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, penunggang motosikal yang dihempap bagaimanapun terselamat kerana ketika kejadian dia berada di kaunter untuk membuat pembayaran. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohd Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 9.02 pagi dan dua jentera dengan 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di stesen minyak terbabit, anggota kami mendapati sebuah kereta Proton Iswara sudah merempuh pam minyak hingga menyebabkan ia tumbang dan berlaku tumpahan petrol selain menghempap sebuah motosikal. Tindakan pantas mencabut wayar sambungan pada bateri kereta diambil untuk mengelak percikan api hingga boleh mengakibatkan kebakaran atau lebih teruk letupan berlaku. Pemandu kereta cedera ringan di mulut, manakala penunggang motosikal tidak cedera kerana tidak berada berhampiran motosikalnya ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25

Hayman ada memori luar biasa


HAYMAN sedari kelebihan ketika berusia 14 tahun.

LONDON: Aurelien Hayman bukan pemuda biasa seperti dijangka. Kini berusia 20 tahun, Hayman memiliki kemampuan mengingati dengan tepat apa saja sepanjang tempoh sedekad lalu. Menghidap hyperthymesia, Hayman boleh menceritakan apa yang dilakukannya, dipakai, dimakan serta berita serta setiap sesuatu yang dialaminya tanpa masalah walaupun ia berlaku lama dulu. Ketika orang normal hanya mampu mengingati tidak lebih daripada 11 peristiwa dalam setiap tahun, Hayman pula sebaliknya. Kata Hayman, dia boleh mengingat apa yang berlaku dekad lalu. “Saya seperti budak biasa sehinggalah berlaku perubahan ketika berusia 11 tahun,” katanya.

Namun, kata Hayman, dia menyedari perubahan itu apabila berusia 14 tahun dan mendapati dirinya mempunyai daya ingatan luar biasa. Misalnya, dia boleh bercerita mengenai cuaca pada 1 Oktober 2006 serta lagu yang didengarnya pada hari berkenaan. Hanya 20 orang disahkan menghidap hyperthymesia di dunia dan Hayman adalah satu-satunya di Britain. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25

Isteri upah kekasih bunuh suami


BANGKOK - Seorang isteri tergamak mengupah kekasihnya termasuk seorang lagi teman mereka untuk membunuh suaminya.Mangsa, Stephen Phillips, 59, dari Torquay, Devon, yang berkahwin dengan wanita warga Thailand, Wilaiwan, 29, ditembak mati berhampiran rumahnya di kampung terpencil di Baan Phai, kira-kira 250 kilometer utara-timur Bangkok ketika sedang menaiki motosikal.

Jurucakap polis berkata, sehari sebelum kejadian itu, isterinya telah meminta £7,000 (RM34,393) dari suaminya dipercayai untuk membayar upah kepada pembunuh suaminya.

“Ia bermotif wang kerana mangsa baru mengeluarkan wang polisi insurans berjumlah £200,000 (RM982,658) dan terdapat £12,000 (RM58,959) transaksi sepanjang minggu lalu,” katanya. Hasil soal siasat terhadap pengeluaran wang tersebut, isterinya menafikan sejumlah pengeluaran wang itu dilakukan kerana mereka telah ditipu melalui skim pelaburan atas talian. - The Mail.

SH 24 September 2012

Mandi buih sambil bogel



Warga Vietnam yang dicekup dalam serbuan di sebuah rumah urut di Bandar Puteri.

NUR FARHANA ABDUL MANAN
25 September 2012

PUCHONG – Sebuah premis rumah urut yang menawarkan khidmat mandi buih kepada pelanggannya di Bandar Puteri di sini lumpuh apabila kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam serbuan dilaksanakan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)itu, 10 wanita warga Vietnam, enam pelanggan dan seorang pekerja dicekup.

Ketika serbuan, tukang urut warga asing terbabit dikatakan asyik memandikan pelanggan mereka dalam keadaan berbaring di dalam bilik mandi yang berada di setiap ruang dipisahkan dengan dinding. Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, empat premis diperiksa, tiga daripadanya didapati mematuhi syarat dan notis dikeluarkan pihak majlis seminggu sebelum ini.

Katanya, pemantauan dilakukan setelah tempoh notis tamat bertujuan supaya pengusaha premis mematuhi syarat lesen. Beliau berkata, serbuan ke atas sebuah premis pusat penjagaan kesihatan yang kononnya menjalankan perkhidmatan urutan mendapati pengusaha gagal mempamerkan lesen perniagaan sah.

“Kebiasaannya pengusaha hanya menawarkan kadar khidmat urutan sebanyak RM40 hingga RM50 tetapi premis ini menawarkan harga dari RM150. Pengusaha didapati menawarkan aktiviti mandi buih kepada pengunjung dalam keadaan berbogel,” katanya. Pihaknya percaya wujud aktiviti pelacuran di premis itu dan kesemua ditahan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Nahas 10 kenderaan, 2 maut


Keadaan kenderaan yang terbabit nahas di lokasi kemalangan, semalam.
AMRAN ALI & SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
24 September 2012

AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.

Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah. Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.

Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan. Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak. Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita. Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian. “Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada  antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit. “Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Jeritan suami ditikam


Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
 TERKEJUT...Roslinda dan anak perempuannya melawat Norizan di Hospital Ampang.
 DARAH...kereta Norizan berlumuran darah selepas ditikam dua lelaki.
     
AMPANG JAYA: “Saya ingat bunyi bising di luar rumah adalah pergaduhan keluarga jiran, namun terkejut selepas mendapati jiran saya terbaring berlumuran darah selepas cedera parah di perut dan tangan kiri,” kata Azim Shaharbudin, 24, jiran Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali, 41, yang parah ditikam dua lelaki, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi di Taman Dagang, di sini, mangsa dikatakan baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran berhampiran rumahnya dan ketika meletak kereta di luar pagar rumah tiba-tiba mangsa diserang dua lelaki terbabit.

Mangsa dikatakan bergelut dengan suspek sebelum ditikam dengan senjata tajam, tetapi sempat berlari sejauh 30 meter untuk meminta bantuan keluarganya dengan mengetuk pintu pagar. Azim berkata, ketika kejadian dia menonton perlawanan bola sepak sebelum dikejutkan dengan bunyi bising disusuli bunyi ketukan pintu pagar rumah beberapa kali. Katanya, dia menyangka bunyi itu adalah pergaduhan, namun tidak sedap hati apabila mendengar suara lelaki meminta tolong sambil menahan kesakitan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25
 

Monday 24 September 2012

Selamba Je..


BACHOK: Usianya baru 16 tahun tetapi kemampuannya luar biasa apabila mampu mencium dan memasukkan kepala ular tedung selar dalam mulut untuk menghiburkan orang ramai. Laili Syuhada Abdul Razak dari Kuala Krai tidak kekok memegang reptilia berbisa itu, malah kadangkala membawanya pulang ke rumah untuk dijadikan teman 'bermain'.
 

Nasib anak kahwin bapa sendiri tanpa sedar


SH 23 September 2012

OHIO - Gempar! Ujian DNA yang dijalankan ke atas sebatang berus gigi akhirnya mendedahkan satu rahsia ‘gelap’ hubungan anak dan bapa. Pendedahan itu hampir meragut nyawa, memusnahkan hubungan institusi kekeluargaan dan meruntuhkan iman. Kisah benar ini terbongkar selepas kematian suaminya yang merungkai siapa sebenarnya suami ataupun bapa kepada seorang wanita, Valerie Spruill. Bagi Spruill, apa yang berlaku adalah tidak masuk akal dan tidak menyangka dia telah mengahwini ‘bapanya’ yang tidak pernah dikenali seumur hidupnya.

“Perkara ini sangat buruk dan boleh memusnahkan hidup seseorang. Malah ia hampir musnah,” katanya ketika dihubungi wartawan CNN, Khamis lalu. Kisah peribadi Spruill, 60, wanita yang berasal dari Doylestown, Ohio mula diterbitkan bulan ini dalam Akron Beacon Journal dengan tujuan dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah sama dan diambil iktibar.

Ia adalah sebuah kisah yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana perkara itu berlaku dan mampu menarik perhatian orang jauh termasuk di India dan Australia. Persoalan yang sama terbit di hati Spruill sendiri sehingga dia terpaksa bergelut dengan kebenaran semenjak dia mengetahui kebenarannya pada 2004 iaitu enam tahun selepas suaminya, Percy Spruill meninggal dunia.

“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak kerana perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah timbul. Saya rasa, kalau dia tahu pun, dia semestinya tidak akan memberitahu saya,” ujarnya kesal. Spruill sebelum ini telah mengesahkan DNA yang ditemui pada berus gigi suaminya. Sebaik mengetahui kebenaran itu, Spruill berhadapan dengan tekanan emosi dan fizikal yang teruk sehingga diserang strok dua kali dan telah didiagnosis mendapat diabetes.

“Sakit dan tekanan akan membunuh diri saya tetapi saya terpaksa melepaskan tekanan ini. Saya hanya memberitahu cerita untuk melepaskan kesakitan saya,” kata Spruill. Bagaimanapun, Spruill percaya Tuhan sedang mengujinya kerana melalui pengalaman ini telah membentuk hidupnya. Bercerita mengenai detik perkenalan pasangan itu, Spruill berkata, dia bertemu suaminya di Akron dan menetap di Doylestown, sebuah pinggir bandar untuk golongan pekerja yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari pusat bandar New York.

Itu adalah perkahwinannya yang kedua. Spruill digambarkan sebagai seorang suami yang baik dan tidak lokek. Dia juga dikatakan memberi layanan yang baik terhadap ‘anak-anak tirinya. Kami mempunyai kehidupan yang baik,” katanya. Pada mulanya, dia terpaksa berhadapan dengan kemarahan dan membenci suaminya atas apa yang berlaku.

Namun, melalui proses terapi dia akhirnya mulai menerima apa yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sebaliknya, semua itu ialah ketentuan takdir. Kebelakangan ini, dia turut dihubungi beberapa pasangan yang senasib dengannya. Mereka memberitahu Spruill, kisahnya itu menjadi teladan kepada mereka untuk menguruskan kisah masing-masing. “Mereka cuba berkawan dengan saya sekarang,” katanya.

Sementara yang lain, masih sukar dan kurang mesra. “Ada yang berpendapat, ‘apa yang rahsia, biarlah rahsia’. Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang pendapat mereka itu. Saya hanya tahu apa yang saya fikirkan. Tuhan Maha Berkuasa dan Dia telah mengajar kita untuk berkata benar walau dalam situasi apa pun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Spruill mengakui, tidak ramai di antara mereka yang berkata benar dan dia telah mempelajarinya daripada pengalaman sejak dari kecil. Mengimbau kisah lalu, ibu Spruill telah hamil masih remaja ketika berpacaran dengan bapanya yang ketika itu berusia 15 tahun.

Selepas dilahirkan, Spruill yang baru berusia tiga bulan telah diserahkan ibunya untuk dijaga oleh datuk dan neneknya, di mana selama ini dia menganggap sebagai orang tua kandungnya. Ketika berusia lapan atau sembilan tahun, barulah Spruill mengetahui bahawa wanita yang sering datang menziarahinya itu ialah ibu kandungnya yang sebenar dan bukannya kawan keluarganya seperi yang didakwa sebelum ini.

Namun, tidak ada sesiapa pernah membicarakan mengenai siapa bapa kandungnya sebelum ini. Kini, tiada siapa yang tinggal untuk memberikan Spruill jawapan mengenai suaminya itu. Ibunya, Christine meninggal dunia pada 1984 manakala kedua orang datuk dan neneknya pula telah lama meninggal dunia.

Sebelum ini, Spruill telah mengetahui ibunya bekerja sebagai pelacur dan pernah ditahan pada 1980 kerana terlibat skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan James Barbuto, seorang hakim yang disabitkan bersalah kerana mengugut dan memaksa melakukan seks kasar ke atas seorang kerani mahkamah di pejabatnya. “Ibu telah mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada saya. Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak akan pernah menyesal ataupun merungut,” katanya.

Bagaimanapun, dia percaya, dia masih mempunyai adik beradik kandung dan tiri dari suaminya, termasuk di sebelah ibunya. Katanya, dia ingin mencari mereka dan memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan. Kini, Spruill bahagia bersama tiga orang cahaya mata dan lapan orang cucu. Dia sebelum ini terpaksa berhadapan dilema untuk memberitahu anak-anaknya bahawa lelaki yang menjadi bapa tiri  mereka itu sebenarnya adalah datuk mereka sendiri.

Spruill yang sebelum ini terpaksa mendapatkan sokongan dari pakar terapi, "bantu saya untuk memberitahu anak-anak saya,” katanya. “Saya telah memaklumkan kepada mereka dua tahun lalu dan mereka benar-benar terkejut mengenai perkara itu. Namun, penerimaan mereka jauh lebih baik berbanding saya.”

Beberapa hari sebelum rahsia ini diketahui umum, Spruill memberitahu cucu-cucunya. "Mereka benar-benar menyokong saya. "Mereka juga kata mereka tetap sayangkan saya dan perlu beritahu apa yang diperlukan oleh saya,” jelasnya lagi.

Semenjak bersara dari jabatan perakaunan Goodyear di mana beliau telah bertugas selama 34 tahun, dia mengisi masa lapangnya dengan menulis kisah hidupnya dan berharap dapat menerbitkannya kelak.

"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang untuk melalui kehidupan ini. Ia juga merupakan satu keajaiban kerana saya masih di sini dan saya mahu orang lain tahu, jika mereka turut melalui pengalaman seperti saya, mereka tetap boleh meneruskan kehidupan," katanya lagi.

* Dipetik dari laporan CNN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...