Pages

♥ikLaN

Followers

Saturday 22 September 2012

Kereta melambung elak kucing


Anggota JPAM memberikan rawatan awal kepada Mohd Farehan yang cedera parah sebelum dibawa ke hospital.

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 September 2012


SIMPANG AMPAT - Gara-gara mengelak seekor kucing, seorang pemandu parah selepas kereta dinaikinya terbalik dan merempuh pagar A Famosa Resort, di Jalan Kemus, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.25 pagi itu, mangsa, Mohd Farehan Khamis, 27, seorang anggota penguatkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Ina, Pulau Sebang, di sini, selepas menziarahi bapanya yang dirawat di Hospital Melaka kerana sakit buah pinggang.

Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi berseorangan mendakwa cuba mengelak seekor kucing yang tiba-tiba melintasi jalan menyebabkan dia hilang kawalan lalu kereta dipandunya terbabas.

“Saya terkejut apabila kucing tiba-tiba muncul atas jalan. Saya terus tekan brek mengejut dan memaut stereng ke kanan untuk mengelak dari melanggarnya. Dalam sekelip mata, kereta saya seolah terbang menghala ke kanan hingga melepasi longkang lalu merempuh pagar dawai resort berkenaan, sebelum kereta ini terbalik," katanya.

Menurutnya, disebabkan kawasan sekeliling terlalu gelap dan tiada kenderaan lain melaluinya, dia terpaksa menjerit meminta tolong sambil berharap orang ramai menyedarinya. “Dalam kesakitan saya menjerit minta tolong. Tak lama kemudian ada penduduk sekeluarga datang selepas mendengar jeritan saya untuk membantu," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah, Mohd Rizuan Rahmat berkata, pihaknya sukar mengesan kedudukan mangsa terbaring kerana kereta berkenaan terperosok di kawasan gelap.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, mangsa berada dalam keadaan sedar sambil menekup kepalanya yang berdarah. Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengesan kedudukan mangsa sebelum ditemui kira-kira dua meter dari kenderaan yang terbalik, melepasi pagar sebuah resort dalam keadaan terbaring," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bahagian kulit kepala mangsa terkoyak, selain mangsa mengadu sakit di bahagian tengkuk. “Selepas diberikan rawatan, mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka berikutan kecederaannya yang kritikal,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...