Pages

♥ikLaN

Followers

Tuesday 18 September 2012

Duit bayar sewa rumah jadi abu


HANGUS...anggota bomba memeriksa barang di dalam rumah Ramu selepas api dipadamkan.

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Sedih bila mengenangkan duit sewa rumah berjumlah RM1,000 yang sepatutnya saya bayar kepada tuan rumah beberapa hari lagi hangus terbakar. Kini, saya terpaksa mengumpul semula duit sewa dan bekerja lebih kuat untuk membayar duit sewa rumah yang sudah dua bulan tertangguh,” kata K Ramu, 40, menceritakan kesedihan yang dialami selepas bilik stor di rumahnya di Kampung Jawa, dekat sini, hangus dijilat api, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia sekeluarga tiada di rumah kerana keluar untuk membeli barangan keperluan.

Katanya, sebaik tiba di rumah kira-kira jam 6 petang, dia terkejut apabila melihat banyak asap tebal keluar dari rumah. Menurutnya, tanpa berfikir panjang, dia segera meninggalkan isteri dan anaknya sementara dia segera berlari ke dalam rumah dengan membawa baldi berisi air kerana mahu memadamkan kebakaran. Bagaimanapun, usahanya untuk memadamkan kebakaran ternyata tidak berhasil kerana api semakin marak walaupun turut dibantu beberapa orang jiran untuk memadamkannya.

“Beberapa minit kemudian, pasukan bomba tiba dan berjaya memadamkan kebakaran, namun saya tidak dapat menyelamatkan barangan berharga seperti wang, barang kemas dan pakaian yang disimpan dalam stor berkenaan. Walaupun terkilan wang dan barangan berharga lain hangus saya bersyukur kerana keluarga selamat,” katanya.

Beliau berkata, anggaran awal kerugian dialami ialah RM15,000. Ramu berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku sejak mendiami rumah itu kira-kira dua tahun lalu. Sementara itu, jurucakap bomba sewaktu dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.21 petang dan tiba beberapa minit kemudian. Katanya, tujuh anggota bomba bersama pegawai tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 7 malam. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak forensik bomba.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...