Pages

♥ikLaN

Followers

Saturday 15 September 2012

Tangisan bayi beri petunjuk

SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
15 September 2012

BAGAN DATOH – Tangisan berpanjangan seorang bayi berusia tujuh bulan menjadi petunjuk terhadap penemuan mayat seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di kuarters guru Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu, mangsa, Normaya Mokhtar, 33, tinggal di kuarters berkenaan bersama bayinya. Bagaimanapun, tangisan bayi yang berlarutan sejak malam Rabu membuatkan jiran tetangga berasa ragu sebelum bertindak berusaha membuka rumah berkenaan dengan mencari kunci pendua yang diletakkan di luar rumah.

“Setelah dapat  mencari kunci tambahan, saya buka pintu rumah itu dan cuba memeriksa keadaan dalam rumah sebelum menemui mangsa terbaring dalam keadaan pucat di katil biliknya. Di sebelah mangsa adalah bayinya yang baru berusia tujuh bulan,” kata seorang saksi yang enggan dikenali kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Panik dengan keadaan itu, dia segera menghubungi pihak kesihatan untuk memeriksa mangsa.

Saksi berkenaan memaklumkan, sehari sebelum penemuan mangsa, dia ada mengirim pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), namun tidak berbalas. “Saya pelik kerana dia tidak membalas SMS saya, ditambah pula dengan suara tangisan anaknya yang tidak berhenti menyebabkan saya nekad untuk mencari kunci tambahan untuk melihat keadaan mereka berdua,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohamad Zaki Harun ketika dihubungi berkata, mangsa yang berasal dari Batu Gajah seorang guru mata pelajaran Bahasa Jepun di sekolah berkenaan. Katanya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati, guru berkenaan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

“Polis sedang menjalankan siasatan mendalam berhubung kes tersebut bagi mengetahui punca kejadian berlaku. Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut apabila tiada unsur jenayah dikesan terhadap mangsa,” katanya. Sinar Harian dimaklumkan, ketika kejadian, suami mangsa tidak berada di rumah atas urusan tugasan luar negeri.

>Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh tempat mangsa mengajar. Gambar kecil: Normaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...