Pages

♥ikLaN

Followers

Tuesday, 11 September 2012

Pembelajaran berasaskan kerja diperkenal semula di Kolej Komuniti


HULU TERENGGANU - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkenalkan semula program diploma dengan kaedah Pembelajaran Berasaskan Kerja tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti KPT, Amir Md Noor.

Beliau berkata program itu dapat meningkatkan taraf pengajian di Kolej Komuniti yang sebelum ini hanya menawarkan program pengajian peringkat sijil sahaja.

"Sebenarnya kabinet telah meluluskan program pengajian ini kepada Kolej Komuniti sejak 2007 dan ia telah berjalan dengan beberapa buah syarikat swasta, sebelum ia dihentikan," katanya tanpa menyatakan bila dan sebab ia dihentikan.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Penutup Eksplorasi Tasik Kenyir Kolej Komuniti Kuala Terenggnau yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT Datuk Omar Abd Rahman di Tasik Kenyir di sini, hari ini.

Pembelajaran Berasaskan Kerja merupakan satu kaedah pembelajaran yang menggabungkan pembelajaran teori dan amali secara serentak di lapangan kerja sebenar.

Amir berkata, penerimaan rakyat terhadap Kolej Komuniti di seluruh negara semakin meningkat dan ramai telah memohon untuk memasukinya sekali gus memberikan cabaran baharu kepada kolej itu.

"Berikutan sambutan itu, sekarang kita terpaksa mencari ruang lebih besar bagi menampung keperluan dari semasa ke semasa. Jadi ini merupakan sebagai strategi meletakkan pendidikan teknik vokasional di arus perdana, " katanya.

Mengenai program ekplorasi itu, Amir berkata 108 orang pelajar Kolej Komuniti dan Universiti Sultan Zainal Abidin, Kolej Universiti TATIUC, Kolej Inforana, Politeknik Kuala Terengganu dan Pusat Latihan Perindustrian Terengganu menyertai program empat hari itu.

"Ini merupakan aktiviti yang disokong KPT bagi meningkatkan sahsiah pelajar. Diharap pelajar dapat menghayati nilai-nilai sepatutnya dengan menjadi warga negara betul-betul hormat kepada semua komuniti termasuk negara dan kerajaan," katanya.- Bernama

SH 10 September 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...