Pages

♥ikLaN

Followers

Friday 28 September 2012

Runtuhan batu halang usaha keluarkan mayat pencari emas

Anggota Bomba dan Penyelamat hari ini berusaha mengeluarkan mayat Lee Sze Chun, 37, yang terperangkap dalam terowong ketika melombong emas secara haram - Foto Bernama
27 September 2012

BAU, Sarawak - Usaha mengeluarkan mayat lelaki berusia 37 tahun yang meninggal dunia ketika mencari emas di sini semalam terhalang apabila ketulan batu besar runtuh di sepanjang laluan yang digunakan pasukan penyelamat.
  
Ketua Polis Bau DSP Mohd Sabri Zainol memberitahu Bernama polis dan anggota penyelamat yang menyertai pasukan itu terpaksa menangguhkan operasi tengah hari ini apabila bertan-tan batu jatuh ketika mereka hampir sampai ke kedudukan mayat Lee Sze Chun, yang ditindih ketulan batu di dalam terowong yang digali di Gunung Tubai, kira-kira enam kilometer dari sini.
  
"Demi keselamatan para penyelamat, saya minta operasi dihentikan pada jam 4 petang. Saya tidak nampak ada cara lain untuk meneruskannya," kata beliau sambil menjelaskan bahawa satu mesyuarat akan diadakan di sini esok untuk merangka langkah seterusnya.
  
Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui anggota keluarga mangsa yang menyaksikan operasi berkenaan sejak jam 9 pagi.
  
Beberapa peralatan menyelamat juga tertimbus apabila bahagian bumbung terowong sedalam lebih 30 meter itu runtuh, katanya.
  
Dalam laporan polis yang dibuat anggota keluarga mangsa semalam, Sze Chun dikatakan pergi ke kawasan melombong di gunung itu bersama beberapa rakan pada kira-kira 2 petang.
  
Beberapa jam kemudian, rakan Sze Chun mengunjungi rumah keluarganya untuk  memaklumkan kejadian itu.
  
Mohd Sabri berkata, kejadian terbaru ini adalah yang keempat seumpamanya berlaku di pekan yang kaya dengan emas ini dalam tempoh dua tahun lepas.
  
"Inilah yang paling sukar (operasi menyelamat) setakat ini dan saya merayu kepada penduduk di sini supaya tidak memperjudikan nyawa dengan melombong emas  dengan cara sendiri," katanya. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...