Pages

♥ikLaN

Followers

Saturday 22 September 2012

Akibat longkang tak bertutup


Abdul Rahman menunjukkan longkang lokasi Puteri Nur Liyadiena jatuh.
Anita menunjukkan luka di kaki Puteri Nur Liyadiena yang terjatuh ke dalam longkang, petang kelmarin.

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012


PONTIAN  - Seorang murid perempuan tahun dua di sebuah sekolah di sini, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terjatuh ke dalam longkang yang tidak bertutup ketika pulang dari sekolah, petang kelmarin.

Ibu mangsa, Anita Attan berkata, kejadian berlaku ketika dia mengambil anaknya, Puteri Nur Liyadiena Musa, 8, pulang dari sekolah agama di Jalan Parit Ibrahim Pontian Besar, di sini.
Difahamkan ada dua sekolah di situ yang menggunakan bangunan sama iaitu sekolah rendah dan sekolah agama.

Anita berkata, ketika anaknya itu sedang masuk ke dalam kereta yang diletakkan di hadapan pintu pagar sekolah, tiba-tiba dia terjatuh dan terjerumus ke dalam longkang yang dianggarkan sedalam dua meter itu.

“Saya terkejut melihat Puteri terjatuh ke dalam longkang ketika sedang cuba masuk ke dalam kereta. Sekelip mata sahaja Puteri sudah berada di dalam longkang. Saya berjaya menarik Puteri keluar, dan ketika itu, seluruh badannya dibasahi air longkang yang amat kotor dan berbau busuk,” katanya kepada Sinar Harian di Wad Pediatrik Hospital Pontian, semalam.

Menurutnya, lokasi longkang yang tidak bertutup itu amat dekat dengan kenderaannya menyebabkan Puteri terjatuh ketika sedang membuka pintu kereta. Jelasnya, bimbang Puteri mengalami sebarang kecederaan, dia terus membawa anaknya itu ke Hospital Pontian dan dimasukkan ke wad kecemasan.

“Alhamdulillah Puteri tidak mengalami sebarang kecederaan pada anggota badannya. Cuma doktor terpaksa menahannya kerana khuatir jika paru-parunya mengalami jangkitan akibat terminum air longkang ketika jatuh. Buat masa ini, ada ketikanya Puteri mengadu masih lagi terasa air longkang di dalam mulutnya,” katanya.

Sementara itu, bagi bapa mangsa, Musa Othman 45, berkata, dia amat terkejut apabila mengetahui anaknya terjatuh ke dalam longkang, petang kelmarin. Menurutnya, kejadian tersebut dapat dielakkan sekiranya longkang itu ditutup.

“Setiap hari kami akan mengambil Puteri pulang dari sekolah seperti biasa, dan tidak menyangka perkara sebegini akan menimpanya. Mujur beberapa hari ini tidak hujan menyebabkan longkang tidak dipenuhi air, membolehkan isteri menarik tangan anak saya,” katanya.

Justeru, dia berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil pengajaran berhubung kejadian malang yang menimpa anaknya supaya tidak berulang kepada kanak-kanak lain.

Bagi penduduk, Ibrahim Abdul Rahman, 34, berkata, permohonan untuk mendapatkan penutup longkang di situ pernah dikemukakan sebelum ini, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
Jelasnya, ketiadaan penutup longkang memberi risiko kepada kira-kira 100 murid yang belajar di sekolah  di situ.

“Saya sendiri pernah melihat seorang murid terjatuh ketika lalu di kawasan longkang ini,” katanya. Sehubungan itu, dia berharap PBT memandang serius perkara ini dan segera menutup longkang berkenaan sepertimana yang dilakukan di hadapan jalan masuk ke Parit Ibrahim. "Lorong pejalan kaki di hadapan jalan masuk Parit Ibrahim yang dibina hanya meliputi kawasan hadapan sekolah menengah kira-kira satu kilometer, diharap agar projek ini dapat diteruskan sehingga ke sekolah rendah,” katanya. Sementara itu, PBT ketika dihubungi enggan mengulas berhubung perkara ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...