Pages

♥ikLaN

Followers

Wednesday 17 October 2012

Elak sebar ‘superbug’


Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
         
PUTRAJAYA: Bagi mengawal penggunaan antibiotik, sekali gus mengelakkan penularan ‘superbug’ iaitu bakteria imun terhadap antibiotik, semua pengamal perubatan di negara ini termasuk ahli farmasi dinasihatkan supaya tidak memberikan ubat berkenaan sewenang-wenangnya walaupun ‘dipaksa’ pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, nasihat itu berikutan ada pesakit yang menjadi ‘doktor’ sendiri dengan menyenaraikan ubatan termasuk antibiotik kepada ahli farmasi tanpa mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu sehingga menyebabkan penggunaannya tidak terkawal. Menurutnya, penggunaan antibiotik tidak terkawal dan berhemat menyebabkan wujudnya masalah Rintangan Antimikrob (AMR) yang kini dianggap satu situasi membimbangkan, bukan saja di negara ini tetapi seluruh dunia.

“Kita mesti melancarkan perang untuk menentang AMR kerana kita sudah kehabisan peluru apabila dalam tempoh lebih tiga puluh tahun hanya dua antibiotik baru ditemui atau dalam kata lain musuh kita bertambah kuat. Jadi, kita nasihatkan doktor supaya menggunakan kebijaksanaan mereka dengan memberi antibiotik secara berhemat dan jangan berlebihan, sementara orang ramai diminta menghormati profesionalisme doktor atau ahli farmasi dengan tidak meminta antibiotik sembarangan tanpa mendapatkan nasihat pakar. Ahli farmasi yang dikesan menjual antibitiotik sewenang-wenangnya kepada orang ramai tanpa preskripsi daripada doktor boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan mengenai AMR 2012 dan Kempen Memerangi AMR Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee.
Liow berkata, AMR akan menyebabkan jangkitan tidak dapat dirawat dengan mudah dan lebih banyak antibiotik akan digunakan untuk merawat pesakit, malah lebih membimbangkan ia turut meningkatkan risiko kematian kepada pesakit.

Katanya, Tinjauan Kebangsaan Rintangan Antibiotik di hospital kerajaan sejak 1999 mendapati rintangan terhadap Methicillin Resistant Staphyloccus Aureus (MRSA) iaitu sejenis bakteria yang kebal antibiotik seperti metisilin, oksasilin, penisilin dan amoxicillin memang menurun sejak empat tahun lalu iaitu daripada 21.6 peratus pada 2007 kepada 19.2 peratus tahun lalu.

Tetapi katanya, mikro organisma ‘streptococcus pneumonia’ menunjukkan peningkatan rintangan terhadap antibiotik makrolida dengan kadar 21.9 peratus pada 2003 kepada 30.9 peratus pada 2010, sementara bakteria ‘acinetobacter’ menunjukkan peningkatan rintangan terhadap antibiotik ‘carbapenem’ daripada 35 peratus pada 2005 kepada hampir 57.4 peratus tahun lalu.

Penggunaan antibiotik di negara ini dikesan meningkat dan kajian mendapati kadar pemberian antibiotik untuk jangkitan saluran pernafasan (URTI) adalah tinggi iaitu 46.7 peratus di klinik swasta dan 27.8 peratus di klinik kerajaan. Kajian jelas menunjukkan penggunaan antibiotik semakin meningkat walaupun hakikatnya penyakit berkaitan URTI tidak memerlukan antibiotik untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17
Gambar oleh mynewshub.my

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...